KOTA BHARU, 1 Ogos -- Pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) tidak mewakili pendirian PAS.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu belum lagi dibincangkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN).
Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, MN iaitu gabungan kerjasama PAS dan UMNO juga tidak berbincang untuk keluar daripada PN.
"Tetapi, setakat ini, saya mengesahkan belum ada perbincangan nak keluar PN. Benda ni mesti kena bincang.
"Kita tak ada masalah. Saya difahamkan minggu depan akan ada mesyuarat PAS dengan UMNO," jelasnya.
PAS yang mengambil sikap menunggu pelawaan UMNO untuk berbincang berhubung perkara itu.
Pendirian PAS ketika ini, jelas Takiyuddin, ialah terus komited pada MN serta menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan memperkukuhkan kerajaan PN sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.
PAS berpandangan kerajaan PN merupakan kerajaan yang bersama memerlukan PAS, UMNO, Bersatu dan parti lain.
"Jelas bagi kita, walau apa-apapun masalah, MN adalah kita komited berdasarkan perjanjian kerana kita parti Islam, kita berpegang pada janji.
"Yang keduanya, perkembangan yang berlaku adalah kita bersama dengan kerajaan PN. Jadi, menjadi tanggungjawab kita untuk memperkukuhkan, mempertahankan kerajaan ini," jelasnya lagi.