KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menunjukkan pengundi tidak lagi menyokong bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata ketua pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari.
![]() |
Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari. |
"Sepertinya, Pejuang tak ada tempat," kata Aziz.
Beliau berkata demikian selepas calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang disokong Pejuang hanya memperoleh 13.69 peratus undi semalam.
Aziz juga berkata beliau yakin tarikan peribadi terhadap Mahathir semakin berkurangan.
Katanya, ini disebabkan calon yang disokongnya gagal menarik sokongan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang telah memberikan undi sebanyak 33 peratus dalam pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, mungkin kini adalah masa bagi Mahathir 'menutup mulutnya'.
"Bagi saya masa depan adalah dengan PH, kita bercakap mengenai sistem dua parti.
"Saya rasa di Semenanjung, pengundi tidak berminat dengan kuasa ketiga sama ada Pejuang atau sebaliknya," katanya.
"Pengajaran yang boleh diambil dari Slim adalah tiada isu mengenai kuasa ketiga. Ini hanya akan memecah undi dan mengelirukan rakyat.
"Saya rasa ini merupakan tanda soal bagi konsep PH plus. Ketika menentang UMNO dan BN, rakyat mahukan PH, titik. Ringkas dan mudah," katanya.
Jelasnya, walaupun ramai pemimpin dari Amanah seperti Mat Sabu, Khalid Samad, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dan Datuk Mahfuz Omar turun berkempen bagi calon Pejuang, ketiadaan pemimpin DAP dan PKR seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat dirasai.
"PH ada di sana untuk membantu dan kami tidak terlibat dalam perancangan atau pemilihan calon. Itu sepenuhnya tugas Pejuang," kata Aziz.
Semalam, BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Slim apabila calonnya, Mohd Zaidi Aziz berjaya memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti 10,945 undi.
Ia sekali gus menewaskan dua lagi pencabarnya masing-masing calon Bebas, Amir Khusyairi dan S. Shantarasekaran.
Mohd Zaidi memperoleh undi sebanyak 13,060 undi. Sementara, Amir Khusyairi hanya memperoleh sebanyak 2,115 undi.
Seorang lagi calon bebas, S. Shantarasekaran hanya mampu berpuas hati dengan 276 undi, sekali gus menyaksikan beliau hilang wang deposit.