KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Penantian kira-kira 300 pemilik unit Perumahan Awam (PA) Sri Labuan di sini, untuk mempunyai tempat tinggal lebih selesa bakal berakhir apabila ditawarkan unit kediaman percuma dengan keluasan kira-kira dua kali ganda daripada PA berkenaan.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata inisiatif melibatkan kos lebih RM50 juta itu akan membolehkan pemilik berpindah ke Residensi Razakmas 2 berkeluasan kira-kira 800 kaki persegi yang terletak berhampiran kawasan PA tersebut, dijangka awal tahun depan.
Beliau berkata tawaran itu dibuat bagi menggantikan unit rumah PA yang dibeli sekitar 1980-an dengan harga lebih RM20,000 seunit, yang akan diroboh dan dibangunkan semula.
“Saya dan kementerian telah membuat kajian terperinci daripada pelbagai sudut dan kita mengadakan perundingan dengan pihak pemaju swasta terlibat dan mencapai persetujuan dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) akan membeli unit (Residensi Razakmas) pada satu harga tertentu untuk diberikan kepada pemilik.
“Sementara untuk penyewa, harga istimewa akan ditawarkan dengan diskaun 30 peratus daripada harga pasaran...residensi baharu itu telah siap dibina dan proses dokumentasi pemindahan dijangka selesai dalam masa tiga bulan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di perumahan itu, di sini hari ini.
Annuar berkata PA Sri Labuan berkeluasan 400 kaki persegi itu merupakan antara kawasan akan diroboh dan dibangunkan semula atas faktor usang dan sempit, bagi membolehkan pihaknya dapat mencapai matlamat menyediakan kediaman lebih selesa kepada warga kota pada masa akan datang.
Beliau berkata di kawasan tapak PA itu, kerajaan merancang membangunkan perumahan dengan unit lebih banyak dan selesa dalam memenuhi keperluan penduduk.
“Berdasarkan perancangan dulu (kerajaan terdahulu) pihak pemaju swasta yang akan memajukan pembangunan semula tapi kini kita buat keputusan DBKL yang akan majukan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PA Sri Labuan Yusuf Abd Rahman berkata pihaknya akan mewujudkan jawatankuasa bagi urusan pemindahan penduduk ke kediaman baharu mereka.
“Kita berpuas hati dengan tawaran ini dan sesi pada hari ini juga telah menjawab dan menyelesaikan kekeliruan penduduk mengenai perancangan pemindahan kami,” katanya.
Terdahulu, Annuar meluangkan masa kira-kira sejam meninjau dan mendengar pandangan penduduk PA Sri Labuan tentang perkara tersebut.
-- BERNAMA