KOTA KINABLU, 2 Ogos -- Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam zon selamat timur Sabah ESSZone yang berakhir pada jam 6 petang, Isnin dilanjutkan selama dua minggu sehingga 18 Ogos.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, susulan pelanjutan itu, penduduk diminta berada di dalam rumah.
Orang ramai juga tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan terbabit antara 6 petang sehingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.
Perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kudat, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
Ia dilanjutkan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing di pulau-pulau peranginan.
Jelas Datuk Zaini, berdasarkan maklumat kumpulan militan Abu Sayyaf dan kumpulan menjalankan aktiviti penculikan dari selatan Filipina, masih cuba menceroboh dan jenayah rentas sempadan.
Perintah itu juga adalah bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.