PKPP dilanjutkan hingga 31 Disember

KUALA LUMPUR, 28 Ogos -- Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijangka berakhir 31 Ogos ini akan dilanjutkan sehingga akhir tahun iaitu pada 31 Disember.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan tersebut diambil kerana kerajaan masih memerlukan mekanisme undang-undang untuk meneruskan usaha-usaha mencegah dan mengawal penularan COVID-19.

"Dengan pelanjutan tempoh PKPP, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 atau Akta 342 masih boleh diambil," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen, hari ini.

Pada 7 Jun lalu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPP bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan sejak 4 Mei lalu bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.