KEPALA BATAS, 29 Ogos -- Polis tidak menggalakkan orang ramai untuk berhimpun atau berkumpul di beberapa lokasi yang sering menjadi tumpuan bagi meraikan ambang merdeka, di daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini, malam esok, bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis akan memberi nasihat jika masih terdapat individu yang berhimpun untuk meraikan ambang merdeka namun jika masih ingkar, kompaun akan dikenakan.
"Kawasan yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk sambutan ambang merdeka dalam daerah SPU ialah di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Pantai Bersih dan Pantai Robina.
"Pihak polis tidak menghalang, sebaliknya, tidak menggalakkan orang ramai hadir ke kawasan tumpuan tersebut memandangkan semua aktiviti sambutan merdeka telah dibatalkan oleh kerajaan. Begitu juga aktiviti persendirian adalah tidak digalakkan terutamanya selepas pukul 12.00 tengah malam," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya tindakan itu dibuat bagi menyekat penularan wabak COVID-19 terutamanya dalam keadaan negeri jiran iaitu Kedah menunjukkan peningkatan kes wabak berkenaan.
-- BERNAMA