TikTok akan diharamkan di AS - Trump


WASHINGTON, 1 Ogos -- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Jumaat berkata beliau merancang untuk menandatangani satu arahan eksekutif seawal Sabtu yang melarang penggunaan aplikasi media sosial milik China, TikTok di negaranya.

Langkah itu diambil berikutan keprihatinan keselamatan negara yang ditimbulkan AS bagi data peribadi yang dikendalikan oleh TikTok.

Ia satu tamparan hebat untuk pemilik Tik Tok, iaitu syarikat ByteDance yang berpangkalan di Beijing, yang merupakan antara segelintir konglomerat China yang berjaya menjangkau ke pasaran global, kerana kejayaan aplikasi itu secara komersil.

Memetik laporan NBC, Trump berkata demikian ketika menaiki penerbangan Air Force One dalam perjalanan pulang ke Washington dari Florida.

"Sejauh ia membabitkan TikTok, kami akan melarang penggunaan aplikasi itu di Amerika Syarikat... saya akan menandatangani dokumen itu esok," kata Trump kepada wartawan.

Setakat ini, ByteDance dan TikTok masih belum memberi sebarang komen ketika dihubungi beberapa media tempatan.