Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga (kiri) dilihat sebagai calon layak menggantikan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe (kanan). |
TOKYO, 30 Ogos -- Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yoshihide Suga bakal menyertai saingan bagi menggantikan pendahulunya, Shinzo Abe sebagai perdana menteri, lapor media tempatan Jepun pada Ahad.
Suga, 71, dilihat sebagai calon layak memandangkan peranan beliau sebagai penasihat Abe paling dipercayai.
Di bawah pentadbiran Abe, Suga dilantik sebagai ketua setiausaha kabinet yang merupakan salah satu jawatan paling berkuasa di Jepun.
Pada Jumaat, Abe meletak jawatan kerana mengalami masalah kesihatan dan pernah berundur kerana isu sama pada 2007.
Selepas pengumuman tersebut, media mula menyenaraikan beberapa tokoh pengganti beliau terdiri daripada ahli politik berpengalaman.
Antara nama disebut media menggantikan Abe adalah bekas menteri pertahanan yang popular, Shigeru Ishiba, 63.
Beliau pernah berkhidmat di beberapa kementerian sepanjang kerjaya politiknya dan pernah menjadi pencabar terkuat kepada Abe bagi pemilihan parti pada 2018.
Selain itu, Fumio Kishida turut disenaraikan sebagai calon yang layak menggantikan Abe.
Kishida, 63, pernah berkhidmat sebagai menteri luar negeri di bawah pentadbiran Abe dari 2012 hingga 2017.
Turut disenaraikan ialah menteri pertahanan, Taro Kono.
Kono, 56, memiliki reputasi hebat dan seorang yang fasih berbahasa Inggeris.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai menteri luar negeri dan menteri untuk reformasi pentadbiran di bawah pentadbiran Abe.