KUALA LUMPUR, 6 Sept -- Penganalisis politik menjangkakan PAS akan menghadapi dilema sekiranya percakaran UMNO dan Bersatu membawa kepada pertembungan, terutamanya menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Azizuddin Mohd Sani, dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata PAS perlu mesra dengan kedua-dua parti Melayu itu kerana sedar mereka tidak akan menjadi kerajaan jika bersendirian.
Namun, sekiranya percakaran UMNO dan Bersatu berterusan, PAS akan terpaksa membuat pilihan antara UMNO yang mempunyai akar umbi yang kuat, atau Bersatu yang mempunyai seorang perdana menteri yang popular.
“UMNO ada kekuatan dan Bersatu pula ada kuasa.
“Tanpa PAS kerajaan Perikatan Nasional juga tidak wujud, tetapi apakah ia mampu diterjemahkan dalam PRU akan datang,” katanya ketika ditemu bual FMT.
Azizuddin Mohd Sani |
Sekiranya parti Islam itu terpaksa membuat pilihan, Azizuddin berkata di peringkat akar umbi, PAS akan lebih kuat bersama UMNO kerana akar umbi parti Melayu itu lebih kuat berbanding Bersatu.
“Jika bertembung sesama sendiri, ia akan beri kesan kepada keputusan PRU,” tambahnya.
Azizuddin bagaimanapun mengingatkan Bersatu tidak boleh diketepikan.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu) sebagai perdana menteri popular dalam kalangan rakyat berbanding pemimpin UMNO,” tambahnya.
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak boleh berpisah dengan kedua-dua parti itu.
PAS mempunyai kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN), dan dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).
UMNO sebelum ini mengumumkan tidak akaj menyertai PN. Meskipun beberapa pemimpin Umno mengalu-alukan penyertaan Bersatu dalam MN, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan berkata akar umbi parti Melayu itu sebenarnya tidak selesa dan tidak bersetuju dengan idea itu.
Pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar berkata PAS akan berada pada kedudukan lebih baik sekiranya ia lebih kuat dan bukan sekadar “king maker” untuk UMNO dan Bersatu.
“Saya lihat, PAS meletakkan dirinya kepada siapa yang dia boleh berikan manfaat. Dalam konteks hari ini, dia bersama Bersatu kerana Muhyiddin perdana menteri tetapi bila esok Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (presiden UMNO) menjadi perdana menteri, dia akan bersama UMNO,” katanya.
Dengan sejarah panjang 69 tahun, Sayuti berkata PAS merupakan parti politik yang besar dan boleh diterima orang Melayu.
“PAS sepatutnya menunjukkan prinsipnya, dia boleh sokong mana-mana parti dan turut memperkuatkan kedudukannya sendiri,” tambahnya. “PAS sepatutnya menjadi raja, bukan hanya ‘king maker’.”
Azizuddin pula mendakwa sikap PAS untuk terus bersama MN dan dalam masa sama bekerjasama dengan PN “akan menyebabkan rakyat sedikit keliru”.
“PAS berada di semua sudut selagi ada kuasa dan kepentingan politik. Memang ia memberi kebaikan kepada PAS, tetapi akan menyebabkan pengundi rasa tidak selesa,” katanya.
Beliau mahu lihat bagaimana PAS akan selesaikan hal penggunaan lambang pada pilihan raya umum akan datang.
“Jika UMNO mahu bertanding bawah Barisan Nasional (BN) dan tidak mahu bertanding bawah PN, jadi bagaimanakah keputusan PAS?
“Apakah akan mengikuti keputusan di Sabah ketika ini, bahawa PAS sedia bertanding menggunakan lambang BN, atau mereka bertanding menggunakan lambang PAS?” katanya.
Hadi bulan lepas mengumumkan PAS sedia menggunakan lambang BN jika ia bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, jika sekutu dalam PN memutuskan untuk berbuat demikian.