PUTRAJAYA, 1 Sept -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu COVID-19 di Lahad Datu, Sabah iaitu kluster Benteng LD, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Memperincikan kluster Benteng LD, beliau berkata kluster itu melibatkan tujuh kes positif hasil saringan tahanan baharu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
"Setakat ini, seramai 50 orang tahanan telah disaring pada 28 Ogos 2020. Daripada jumlah ini, tujuh kes dikesan positif COVID-19 dan 43 individu adalah negatif,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan susulan kes positif tersebut.
“Kes positif COVID-19 kluster ini melibatkan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dan satu warganegara Malaysia. Kesemua kes positif ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.
“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti,” katanya.
Dr Noor Hisham juga berkata pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan itu.