DUN bubar: Rakyat Sabah beri reaksi berbeza di media sosial

EDISI -- Pilihan Raya Negeri Sabah 2020
--

KOTA KINABALU, 31 Julai -- Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam mendapat pelbagai reaksi rakyat Negeri di Bawah Bayu itu yang menyuarakan pandangan mereka menerusi platform media sosial termasuk Facebook dan Twitter.

Ramai bersetuju dengan pembubaran DUN Sabah yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu namun tidak kurang juga yang tidak bersetuju dengan alasan masing-masing.

Pengguna media sosial yang bersetuju dengan pembubaran itu menyifatkan ia sebagai langkah tepat bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda Sabah sejak Pilihan Raya Umum Ke-14.

Seorang pengguna Facebook Ummie Azman, yang menyuarakan pandangannya di ruangan komen sebuah portal berita, berpendapat pembubaran itu memberi ruang kepada rakyat untuk menentukan siapa pemimpin harus diundi dan dipilih.

"Tindakan bubar DUN Sabah adalah tepat dan (saya) tidak memihak kepada mana-mana individu dalam percaturan politik, biarlah rakyat menentukan siapa yang akan diundi.

"Tidak kira dalam kalangan Yang Berhormat terdahulu atau mungkin akan muncul muka baharu yang lebih dinamik, konsisten dan mempunyai kredibiliti dalam menerajui dunia politik, diharap yang terpilih ini ambillah mandat itu dengan rasa tanggungjawab dan bantu kawasan DUN anda," katanya.

Lionel John turut bersetuju dengan pembubaran DUN Sabah bagi membolehkan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan.

"Keputusan yang tepat, marilah kita biarkan rakyat menentukan siapa yang akan menerajui kerajaan negeri Sabah," katanya.

Di Twitter, pemilik akaun @gabyjoshuawong pula menulis pembubaran DUN Sabah memberi mesej jelas untuk menunjukkan bahawa kuasa itu terletak di tangan pengundi dan mandat rakyat adalah keutamaan.

"Ini akan menjadi satu mesej yang jelas untuk disampaikan bahawa kuasa terletak di tangan pengundi dan mandat rakyat adalah keutamaan, harap penduduk Sabah menyedari perkara ini," katanya.

Pengguna media sosial yang tidak bersetuju pula berpendapat pembubaran tersebut tidak perlu kerana negara ketika ini masih berdepan ancaman pandemik COVID-19.

Pemilik akaun @AsirafYaacob dalam ciapannya di Twitter menyatakan “Tidak perlu PRN ketika negara berdepan dengan wabak COVID-19, boleh memudaratkan nyawa rakyat.”

Lee Eun Ju di Facebook turut tidak setuju DUN Sabah dibubar dan menulis “Masih COVID-19, mohon maaf tidak dapat turun mengundi."

Semalam, Mohd Shafie ketika membuat pengumuman itu berkata pembubaran DUN Sabah dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam tempoh 60 hari. - BERNAMA